Nao Robot

Video Affirmasi Motivasi dan Inspirasi

Adat vs Ibadat  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan


Orang bukan Islam akan bekerja hanya untuk mengumpul kekayaan semata-mata kerana mereka percaya dunia ini adalah syurga bagi mereka. Hal ini berbeza dengan kita yang menganut agama Islam. Kita bekerja bukan untuk mengumpul kekayaan tetapi sebaliknya untuk mendapat reda Ilahi.  Pendapatan yang kita miliki digunakan untuk kehidupan seharian. Begitu juga dengan non Muslim. Bezanya, kita menggunakan semua pendapatan kita untuk beribadat kepada Allah. Sebaliknya, mereka menggunakannya hanya untuk dunia semata-mata. 

Itu adalah perbezaan di antara pendapatan yang digunakan oleh Muslim dan non Muslim. Sekarang, kita masuk pula perbezaan di antara adat dan ibadat. Apakah perbezaan itu? Jawapannya, niat. Niat yang membezakan antara adat dan ibadat.

Rasulullah S.A.W. bersabda:   

...الأَعمال بالنيات
Setiap amalan itu bermula dengan niat...

Niat dilakukan di awal perbuatan dan niat itu letaknya di dalam hati. Ini bermakna, jika kita tidak berniat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, maka perbuatan atau pekerjaan kita itu dinamakan sebagai adat. Sebaliknya, jika kita memulakan pekerjaan kita dengan niat, maka pekerjaan itu dinamakan sebagai ibadat. Mudah bukan untuk melakukan ibadat? 

Inilah indahnya Islam. Ibadat boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Tidak terhad di suatu tempat sahaja. 

Belajar dari Seekor Itik  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan


Pernahkah anda melihat seekor itik yang sedang berada di atas permukaan air? Bagaimanakah keadaannya? 

Sudah pasti kita melihatnya tenang sahaja di atas permukaan air itu. Tiada yang menarik pada itik tersebut jika kita tidak memikirkannya. Sebaliknya, jika kita meneliti keadaan kaki itik di dalam air itu, ternyata begitu sukar untuk seekor itik bergerak di dalam air. Manakan tidak, sepasang kakinya bertungkus-lumus mengayuh badannya dengan laju semata-mata untuk menggerakkan tubuhnya ke tempat yang dituju. 

Ya, begitu kuat usaha seekor itik untuk menimbulkan dirinya di atas permukaan air. Jika itik itu tidak mengayuh kakinya dengan laju, sudah pasti itik itu tenggelam dan mati lemas. Subhanallah, cantik sungguh ciptaan Allah. 

Apa pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini? 

Pengajarannya ialah kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan erti kata lain menggunakan semaksima tenaga yang kita miliki untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Perlu diingat juga sebagai umat Islam, kita mesti berdoa mengharapkan pertolongan Allah dan bertawakkal kepada-Nya. Alangkah malunya kita dengan seekor itik jika kita tidak dapat berusaha lebih kuat lagi kerana kita dianugerahkan akal fikiran yang masih waras.

Doa Pengubat Rindu Anak Kepada Abah  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan


Seorang anak merindui ayahnya yang sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya semasa dia di tingkatan lima. Dahulu, si anak kerap menangis mengenangkan ayahnya yang tercinta kerana si anak terlalu rapat dengan ayahnya. Perasaan sedih itu sangat kuat sehingga dia sempat meluahkan kerinduannya itu di atas beberapa helaian kertas semasa menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), Namun, kesedihan itu diikuti dengan doa untuk ayahnya.

Kini, dia sudah dewasa. Seperti dahulu, dia masih lagi merindui ayahnya. Bezanya, dia kini dapat mengawal perasaannya sesuai dengan umurnya yang semakin bertambah. Setiap kali selepas solat dan tatkala merindui ayahnya, pasti dia mendoakan kesejahteraan ayahnya. Inilah doa yang biasa disedekahkan buat ayahnya yang tercinta.

"Ya Allah, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku serta kasihanilah mereka berdua sepertimana mereka berdua mengasihiku dan menyayangiku sejak kecilku. Ya Allah, terangkanlah dan lapangkanlah kubur abahku, tenangkanlah dia di sana, masukkanlah dia ke dalam golongan hamba-hambaMu yang beriman, bertaqwa, dan beramal soleh. Ya Allah, masukkanlah abahku ke dalam syurgaMu bersama-sama Nabi Muhammad SAW, orang-orang yang dia sayang, dan orang-orang yang menyayanginya serta kekalkanlah dia di sana buat selama-lamanya. Rahmatilah dan redhailah dia di akhirat sana. Ya Allah, mudah-mudahan aku dan ibuku dapat mengikut jejak langkah abahku. Amin..."

Moga kita dapat mengambil manfaat daripada kisah ini. Ingatlah, hanya anak-anak yang soleh bisa mendoakan kesejahteraan dan kebahaagiaan ibu bapanya di dunia dan akhirat.

Perbetulkan doa berbuka puasa  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan

 
Begitu pantas masa meninggalkan kita hingga kita dapat temui lagi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Syukur hari ini kita masih dapat menemui bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Entah tahun depan dapat jumpa lagi atau tidak, hanya Dia sahaja yang tahu. 

Ketika orang lain sibuk melakukan ibadah, aku pula sempat lagi mengambil sedikit masa untuk menonton televisyen. Bagiku, tidak salah menonton tv selagimana kita dapat mengambil pengajaran daripada apa yang kita tonton.

Banyak cerita yang ditontonkan oleh pihak media sempena bulan Ramadhan. Sudah pasti part yang paling sinonim dengan bulan Ramadhan ialah ketika berbuka puasa. Apa yang dapatku lihat melalui kebanyakan cerita sempena Ramadhan ini ialah penulis skrip atau pengarah kurang memberi perhatian tentang doa berbuka puasa. Kita sering melihat di tv seorang pelakon membaca doa berbuka puasa dan yang lain mengaminkan doa tersebut. Perasankah anda doa yang dibaca oleh pelakon yang diberi tugas mengetuai doa itu merupakan doa berbuka puasa khusus untuk dirinya sahaja?

Di bawah ini merupakan doa berbuka puasa jika kita berbuka seorang diri. Manakala doa di bawahnya pula  merupakan doa untuk ramai yang berbuka puasa.

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ أَمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: Ya Allah, keranaMu aku berpuasa, denganMu aku beriman, dan dengan rezekiMu aku berbuka, dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَبِكَ أَمَنَّا وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: Ya Allah, kepadaMu kami berpuasa, denganMu kami beriman, dan dengan rezekiMu kami berbuka, dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Anggaplah ini sebagai perkongsian ilmu dari diriku yang lemah lagi kerdil ini. Moga kita sama-sama dapat mengamalkan ilmu yang bermanfaat ini dan mengajarkannya kepada orang lain. Hargailah bulan yang penuh keberkatan ini agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

Alifun Ba  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan

Sedarkah kita bahawa kita jarang sekali mengingatiNya?  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan


Alhamdulillah, hari ini kita masih diberi nikmat menghirup udara segar di dunia ini. Syukur  ke hadrat Ilahi kerana kita juga masih diberi dua nikmat besar iaitu nikmat Islam dan Iman. Moga-moga semua nikmat yang diberikanNya kepada kita ini tidak akan kita sia-siakan. 

Semalam, saya mendapat keputusan peperiksaan semester lepas. Walaupun keputusan saya jatuh, saya tetap bersyukur kepada Allah yang Maha Berkuasa kerana saya tahu semua itu ujian yang seharusnya saya terima dengan hati yang terbuka. Dalam masa yang sama, keputusan ini secara tidak langsung membuatkan saya kembali mengingatiNya. Memang benar kata orang, manusia selalunya akan mengingati Penciptanya apabila dia berada dalam kesedihan, kesempitan, kegelisahan, dan kesusahan. 

Kelekaan dan kelalaian seseorang di dunia yang sementara ini tidak mampu membantu dirinya bahagia di akhirat sana. Sedarkah kita bahawa kita jarang sekali mengingatiNya? Kita selalu bergelak ketawa tanpa kita sedar saat kematian kita semakin hampir. Tidak kurang juga kebanyakan kita yang jarang sekali mengingatkan kawan-kawannya tatkala melihat mereka ketawa berdekah-dekah. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam situasi ini? Jawapannya, kita semua kerana kita bersaudara. 

Kita tidak boleh fikir bahawa kita terlepas dari dosa yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menasihatinya. Percayalah, nasihat mampu mengubah sikap seseorang dari negatif  menjadi positif insyaAllah. Jika kita mengajak orang melakukan kebaikan, dan orang itu melakukan kebaikan tersebut, insyaAllah kita mendapat pahala selagimana orang itu melakukan kebaikan tersebut. Begitu juga sebaliknya. 

Lihat Wajah Ibu Bapa Suatu Ibadah  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan


Kebanyakan pelajar USIM sekarang ini sedang menghabiskan masa bersama keluarga tersayang. Al-maklum lah tengah cuti semester. Nanti dah naik sem baru, dah susah nak balik kampung disebabkan assignment dan kerja yang terlalu banyak. Walau apa pun, kita perlu juga mengambil sedikit masa untuk pulang ke kampung walaupun dalam kesibukan. Bukan apa, bila kita lihat wajah orang tua kita, insyaAllah hati kita akan tenang. Secara tidak langsung kita dapat menyelesaikan semua kerja yang kita ada dengan lebih mudah tanpa kita sedari. Apatah lagi melihat wajah ibu bapa merupakan suatu ibadah.

Bagi sesiapa yang sudah ketiadaan ibu atau bapa atau kedua-duanya, kita masih boleh melakukan ibadah walaupun sudah tidak dapat melihat wajah mereka. Mendoakan kejayaan dan kebahagiaan ibu bapa juga dituntut dalam Islam. Hanya anak yang soleh dan solehah yang akan medoakan ibu bapa mereka. Jadi, apa tunggu lagi. Mari kita doa sama-sama.

اللهمّ اغفرلي ولوالديّ وارحمهما كما ربّياني صغيرا. آمين