Nao Robot

Video Affirmasi Motivasi dan Inspirasi

Rahsia Solat dari Sudut Sains dan Kesihatan  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan



Tahukah anda bahawa solat boleh merawat penyakit yang kritikal?
Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.
HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:
AKTIVITI OTOT - Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas


Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.


“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.


ISYARAT OTAK - Ng Siew Chok


Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.


“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya.


Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.


“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.


Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.


Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.


Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.


KOMPOSISI TUBUH - Dr Fatimah Ibrahim


Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.


Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.


“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.


Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir.


Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.


Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.


“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.


“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.


Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.


Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.


Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.


Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.


Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.


“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan sahaja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.


Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.


Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.


“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.


Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.


Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat ).

Diet Cara Islam  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan

 


Tanpa kita sedari, penyakit yang timbul dalam diri kita berpunca daripada makanan yang kita makan setiap hari. Antaranya penyakit kencing manis, lumpuh, sakit jantung, keracunan makanan apabila kita telah tua nanti. Apabila kawan-kawan telah mengetahui ilmu ini, tolonglah ajarkan kepada orang ramai.


TIDUR 1 JAM SELEPAS MAKAN TENGAHARI.


JANGAN MAKAN BUAH SELEPAS MAKAN NASI, SEBALIKNYA MAKAN BUAH TERLEBIH DAHULU, BARU MAKAN NASI.


Jangan makan SUSU + DAGING
Jangan makan DAGING + IKAN
Jangan makan IKAN + SUSU
Jangan makan AYAM + SUSU
Jangan makan IKAN + TELUR
Jangan makan IKAN + DAUN SALAD
Jangan makan SUSU + CUKA
Jangan makan BUAH + SUSU CTH :- KOKTEL



Ini terbukti oleh saintis yang menjumpai di mana dalam badan ayam mengandungi ion+ manakala dalam ikan mengandungi ion-, jika dalam suapan ayam bercampur dengan ikan maka terjadi tindak balas biokimia yang terhasil yang boleh merosakkan usus kita. Dalam kitab juga ada melarang kita makan makanan darat bercampur dengan makanan laut.


Ini pun adalah diet Rasullulah SAW kita juga. Apa kata kita ikut diet ini. Tak payahlah susah-susah makan pil untuk kurus. Insyaallah kalau kawan-kawan ikut diet Rasullullah ini, confirm kawan-kawan takkan sakit perut ataupun keracunan makanan.


Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari.
Begitu juga ahli saintis telah menjumpai bahawa enzim banyak terkandung di celah-celah jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzim sejenis alat pencerna makanan, tanpanya makanan tidak hadam).


Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk (bukan air ais) setiap pagi. Kesannya Insyaallah jauh dari penyakit (susah nak kena sakit).


Waktu solat subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelak dari sakit pening atau migrin.
Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yg tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan.


Mandi pagi sebelum subuh @ sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik. Air sejuk yang meresap ke dalam badan boleh mengurangkan lemak mengumpul. Kita boleh saksikan orang yang mengamalkan mandi pagi kebanyakan badan tak gemuk.


Wallahu A'lam...
Sama2lah kita mengamalkannya...

Kelebihan Solat Berjemaah Mengikut Teori Fizik  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan



Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang
menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.

Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan
yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh
tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat
setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil
akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan.Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang
kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.Setelah kajian lanjut, didapati terdapat
keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Ciri-Ciri Planet  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan


 


Semua planet mengelilingi Matahari pada arah yang sama; melawan jam jika dilihat dari atas kutub utara Matahari. Tempoh satu putaran orbit planet dikenali sebagai satu tahun. Tempoh ini bergantung kepada jaraknya dari Matahari; lebih jauh planet tersebut dari Matahari, lebih jauhlah jarak yang perlu dilaluinya, dan lajunya juga lebih perlahan, kerana graviti Matahari kurang berkesan terhadapnya.

Semua planet juga berputar pada paksi bayangan dipusatnya. Tempoh satu putaran ini dikenali sebagai satu hari. Kebanyakan planet, termasuk Bumi, berputar sambil mengelilingi, mengikut arah lawan jam. Zuhrah sahaja yang berputar mengikut arah jam. Di Zuhrah, Matahari akan kelihatan terbit di barat dan tenggelam di timur. Tempoh satu hari berubah-ubah antara planet. Satu hari di Marikh cuma 37 minit lebih lama dari di Bumi; Zuhrah lebih lama, 243 hari. Semua gergasi gas mempunyai tempoh putaran beberapa jam sahaja.

Planet juga mempunyai kecondongan paksi yang berbeza-beza; mereka membuat suatu sudut pada satah ekliptik (bergerhana). Ini menyebabkan jumlah cahaya matahari yang diterima oleh setiap hemisfera berbeza sepanjang tahun. Oleh itu setiap planet mempunyai musim; perubahan pada iklim di sepanjang tahun. Waktu di mana setiap hemisfera paling jauh/pendek daripada Matahari dipanggil solstis. Setiap planet mempunyai dua solstis setahun. Apabila hemisfera utara mengalami solstis musim panas, apabila siangnya paling panjang, henisfera selatan mengalami solstis musim sejuk, siangnya paling pendek. Kecondongan paksi Musytari amat kecil, jadi perbezaan musimnya amat sedikit; Uranus pula amat condong sehingga boleh dikatakan ia baring, ini bermakna hemisferanya adalah sentiasa siang atau sentiasa malam sekitar waktu solstis.

Dalam Sistem Suria  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan


Planet berbatu: Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh (saiz mengikut skala)
Empat gergasi gas dibandingkan dengan Matahari: Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun (saiz mengikut skala)


Mengikut takrifan IAU, terdapat lapan planet dalam sistem suria. Planet-planet tersebut serta jarak puratanya dari Matahari adalah seperti berikut (simbol astronomi dalam kurungan):


1. Utarid ( ☿ ) tiada satelit, 57.9 juta km
2. Zuhrah ( ♀ ) tiada satelit, 108.2 juta km
3. Bumi ( ⊕ ) satu satelit semula jadi, Bulan, 149.6 juta km
4. Marikh ( ♂ ) dua satelit, Phobos dan Deimos, 227.9 juta km
5. Musytari ( ♃ ) enam puluh tiga satelit, 778.3 juta km
6. Zuhal ( ♄ ) lima puluh enam satelit, 1,427.0 juta km
7. Uranus ( ♅ ) dua puluh tujuh satelit, 2,871.0 juta km
8. Neptun ( ♆ ) tiga belas satelit, 4,497.0 juta km


Disebabkan oleh orbit planet yang membujur dalam sistem suria, jarak dan kedudukan planet berbanding kedudukan matahari berubah mengikut kedudukan planet di orbit.

Teori 'Big Bang' dalam Al-Quran  

Posted by: Sebaik-baik Keredhaan

 


"Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya.." ( Al-Anbiya' : 30 )

Huraian

Oleh kerana Al-Quran merupakan mukjizat yang membuktikan kebenaran Islam, maka Allah swt mengajak manusia berfikir tentang kebenaran fakta yang disampaikan melalui Rasulullah saw.

Sesiapa yang mengkaji kebenaran pernyataan Al-Quran, pasti akan menemui Islam sebagai pegangan hidupnya.

Sebagai contohnya ialah teori 'big bang'.

Syaikh Tantawi Jauhari melalui kitabnya Al-Jawahir yang ditulis sekitar tahun 1920-1930 menyebut :

"Apa yang dijelaskan oleh Al-Quran, langit yang banyak dan bumi ini termasuk matahari, bintang-bintang dan segala alam yang ada di dalamnya, semuanya bercantum padu sebelum ini, kemudian Allah swt pisahkan kesemuanya. Ayat ini adalah mukjizat yang membuktikan kebenaran Al-Quran, kerana ilmu berkenaan perkara ini hanya diketahui pada hari ini"
Menurut teori 'big bang', alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlakulah satu letupan yang kuat ( cosmix explotion ) 10 hingga 20 bilion tahun yang lampau, yang dinamakan 'big bang'.

Sejak itu berlakulah pengembangan dan penyejukan ( expending and cooling ) sehingga akhirnya lahirlah bintang-bintang, galaksi dan seumpamanya.

Teori ini pada asalnya diasaskan dari formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915.

Kemudian, pada tahun 1922, seorang pakar fizik Rusia, Alexandar Friedmann mengembang dan mengukuhkan lagi teori ini.

Pada tahun 1929, Edwin Hubble menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori 'big bang'. Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau mendapati alam ini sedang mengembang.
Penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang mengatakan alam ini bercantum padu pada asalnya diikuti satu letupan besar kerana letupan itulah yang menyebabkan pengembangan ini.

Wallahu a'lam.

Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah.